welcome to our viewers (personafedora.blogspot.com)

Monday, July 2, 2007

Rencana Aidilfitri


Hari Raya Aidilfitri
(takbir raya-sound) (e-kad raya)
Amalan pada Hari Raya di Malaysia
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.
Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid dengan memuji kebesaran Allah. Tempoh takbir pada Hari Raya ialah terbenam matahari hari terakhir bulan Ramadan sehingga solat sunat Hari Raya pada pagi 1 Syawal.
Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang dihidangkan pada hari ini. Ketupat adalah nasi yang dikukus di dalam anyaman daun kelapa atau daun palas dan selalunya dihidangkan bersama dengan rendang. Juadah-juadah yang lain termasuklah lemang, lontong, dodol dan kuih raya.
Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum hari tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen, rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri. Di jalan-jalan raya utama dan lebuhraya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Al-Fatihah atau bacaan surah Ya-Sin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang tua kepada kanak-kanak dalam sampul duit yang selalunya berwarna hijau. Pada malam Tujuh Likur, pelita atau lampu minyak tanah akan dinyalakan terutamanya di kampung-kampung. Kadangkala pelita akan digantikan dengan penggunaan lampu elektrik kerana ia lebih bersih dan praktikal, namun keaslian sambutan Hari Raya selalunya akan berkurang dengan penggunaan ini.
Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri dan sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang mulai pulang daripada cuti.

Hari Raya dalam Aspek Sosio-Budaya di Malaysia
Lagu yang dinyanyikan oleh Seniwati Saloma yang berjudul ' Selamat Hari Raya ', Sudirman ' Balik Kampung ', Tan Sri P Ramlee ' Dendang Perantau ' dan Uji Rashid & Hail Amir ' Seloka Hari Raya ' adalah antara lagu-lagu raya yang sangat popular dan sering dimainkan setiap kali menjelangnya Aidilfitri.
' Selamat Hari Raya, Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahir dan Batin ' adalah tagline yang popular untuk ucapan Hari Raya, terutamanya pada kad-kad raya.
Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun Ang Pau. Untuk Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5.
Walaupun tidak menjadi kebiasaan di rumah-rumah, namun hiasan untuk Hari Raya banyak diamalkan di pusat membeli-belah, premis perniagaan, hotel-hotel dan tempat-tempat awam. Simbol yang popular ialah ketupat, pelita, motif ukiran Melayu dan Arab, bulan dan bintang serta masjid. Lampu-lampu hiasan akan dipasang di sepanjang jalan-jalan besar untuk menambahkan lagi kemeriahan suasana sambutan Hari Raya.
Hiasan di rumah-rumah lebih bersifat skala kecil. Untuk yang berkemampuan, perhiasan dalam rumah seperti langsir dan hiasan dalaman akan ditukar dengan yang baru. Namun perkara ini tidak digalakkan kerana akan berlaku pembaziran. Kad-kad raya kiriman kenalan dan saudara mara akan digantung. Ketupat yang dianyam menggunakan bahan-bahan tiruan seperti reben juga semakin popular untuk tujuan hiasan.
Bunga api dan mercun, walaupun diharamkan, tetap kelihatan dan dimainkan terutamanya pada malam sebelum Hari Raya. Mercun dan meriam buluh telah diharamkan penggunaannya oleh kerajaan Malaysia atas tujuan keselamatan sebelum ini amat popular terutamanya di kalangan kanak-kanak pada malam Tujuh Likur.
Malam Tujuh Likur adalah malam ke-27 bulan Ramadan. Sesetengah orang berpendapat bahawa malam Tujuh Likur adalah tujuh malam sebelum Aidilfitri menjelang. Tujuh malam ini, yang termasuk dalam sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan adalah malam-malam di mana umat Islam digalakkan untuk beribadah dengan lebih tekun kerana salah-satu daripada malam-malam tersebut adalah Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh dengan keberkatan.
Rumah terbuka adalah salah satu amalan yang menarik di Malaysia. Rumah terbuka Perdana Menteri dan lain-lain kenamaan adalah tarikan menarik pada Hari Raya. Sepanjang bulan Syawal, rumah terbuka akan diadakan di rumah-rumah dan tempat-tempat seperti dewan dan padang bagi yang mampu untuk menjamu dan mengeratkan silaturahim di antara sanak saudara dan rakan taulan.
Kad-kad Hari Raya adalah bahan yang popular menjelang Lebaran untuk mengirimkan salam kepada sanak saudara dan rakan-rakan. Setiap tahun berjuta-juta kad raya akan dihantar ke seluruh Malaysia, namun jumlah ini semakin berkurangan dengan wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS) dan kiriman kad melalui mel elektronik (e-mel). Budaya mengirim kad yang semakin pupus ini sedikit sebanyak telah mengurangkan kemesraan dan nilai sentimental kiriman kad itu sendiri.

No comments:


Glitter @ HotFreeLayouts.com

Welcome (selamat datang) to our visitor.

Assalamualaikum w.b.t.

"Allah tiada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus menerus mentadbir (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak pula tidur. Kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang ada dihadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi (ilmu dan kekuasaan) Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar"
(Al-Baqarah: 225)


UNTUK AWAK~






Peta Tempat.. cari...