welcome to our viewers (personafedora.blogspot.com)

Wednesday, August 1, 2007

BAHAYA kemiskinan


BAHAYA kemiskinan tidak hanya menggugat segi kerohanian dan mentaliti manusia, malah juga menyerang pemikiran mereka. Orang miskin dan tidak mampu memenuhi keperluan asas diri, isteri dan anak tentu tidak boleh berfikir dengan baik.

Lebih-lebih lagi jika dalam kawasannya ada orang kaya yang rumah mereka dipenuhi perabot mewah dan almari mereka dipenuhi barang berharga.

Diriwayatkan seorang ulama dan sahabat Imam Abu Hanifah, Imam Muhamamad bin al-Hasan as-Shaybani didatangi hambanya yang berkata kepadanya, “Tepung gandum sudah habis.”

Beliau marah kepada hambanya itu dan berkata, “Semoga Allah memerangimu. Berita yang kamu bawa itu sudah menghilangkan empat puluh masalah fiqh yang berada dalam kepalaku.” Bahkan diriwayatkan Imam Abu Hanifah sendiri pernah berkata, “Janganlah meminta pendapat daripada seseorang yang sudah kehabisan gandum di rumahnya.”

Seseorang yang berada dalam keadaan begitu, fikirannya runsing. Dikhuatiri pendapat yang diberikannya tidak tepat. Dalam ilmu jiwa, kita ketahui bahawa kegundahan dan kerunsingan yang sedang dialami seseorang boleh menyelewengkan kejituan pemikiran serta ketepatan pendapatnya. Sebagai contoh, seorang kadi (hakim) janganlah menjatuhkan keputusan dalam keadaan marah.

Fuqaha mengkiaskan perkataan marah dalam hadis itu dengan keadaan terlampau lapar, dahaga atau keadaan lain yang boleh mempengaruhi emosi seseorang.

Seorang penyair menyimpulkan kesan kemiskinan terhadap pemikiran dalam sajak berikut:

Jika harta seseorang berkurangan, maka berkurang pula kehebatannya bumi dan langit akan menjadi sempit pada pandangannya.

Dalam keadaan itu, dia akan kehilangan pertimbangan sehingga tidak tahu manakah yang baik dan manakah yang buruk untuk dirinya.

Kemiskinan boleh mendatangkan bahaya terhadap institusi keluarga dari segi pembinaan kesinambungan dan kekukuhan perhubungan antara anggota keluarga. Kemiskinan adalah batu penghalang utama terhadap keinginan belia untuk berumah tangga, terutama masalah pembiayaan membabitkan mahar, nafkah serta kestabilan ekonomi rumah tangga.

Itulah sebabnya al-Quran memerintahkan mereka untuk menahan diri dan bersabar sehingga mereka memiliki sumber ekonomi stabil.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah menjaga kesucian (dirinya), sehingga Allah menjadikan mereka mampu dengan kurnia-Nya.” (Surah an-Nur, ayat 33)

Kita dapati ada anak gadis atau orang tua mereka menolak pinangan seseorang jika didapati dia tidak memiliki sebarang harta dan keadaan ekonominya belum mapan. Walau bagaimanapun, sikap sesetengah wanita atau orang tua yang menjadikan kebendaan sebagai pertimbangan utama adalah penyakit lama dalam masyarakat yang ditentang al-Quran.

Al-Quran menasihati mereka bersikap adil dalam memilih menantu dan menilainya dengan ukuran kesolehan dan ketakwaan, bukan dengan pertimbangan ekonomi dan harta saja.

Firman Allah bermaksud: “Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu serta orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan menjadikan mereka mampu (berkecukupan) dengan kurnia-Nya, Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)

Ditinjau dari segi kesinambungan hubungan keluarga, kita menyaksikan bagaimana kemiskinan sering membuat manusia kehilangan pertimbangan moral.

Kemiskinan sering menjadi penyebab perpisahan suami isteri meskipun mereka tidak menghendaki berlakunya perpisahan itu.

Perpisahan suami isteri yang disebabkan kemiskinan adalah satu perkara yang disahkan undang-undang Islam.

Kadi boleh memberi kebenaran kepada isteri untuk berpisah jika suami terbukti hidup dalam keadaan melarat dan tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya.

Hal itu demi melindungi hak isteri dan menghindar daripada kesengsaraan, sesuai dengan kaedah usul fiqh, mengambil jalan yang tidak berbahaya dan tidak membahayakan.

Dalam hubungan antara keluarga, kita sering menyaksikan bagaimana kemiskinan mencemari kemurnian hubungan antara anggota keluarga. Bahkan, kadangkala ia boleh mengoyak kemesraan antara mereka.

Al-Quran mencatatkan satu peristiwa dalam sejarah umat manusia iaitu sebahagian orang tua sanggup membunuh anak sendiri kerana ditekan kemiskinan.
Bahkan ada kalangan mereka yang membunuh anak hanya kerana benar-benar miskin.
Perbuatan seperti itu adalah jenayah terkutuk yang membuat seluruh manusia berasa malu dan terhina. Tidak hairanlah jika kita saksikan bagaimana al-Quran melaknat perbuatan itu dan memperingatkan umat manusia supaya tidak mengulangnya.

Allah berfirman bermaksud: “Janganlah kamu membunuh anakmu kerana kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.” (Surah al-An’am, ayat 151)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan Janganlah kamu membunuh anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu, sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang sahabat mengenai apakah dosa paling besar. Maka Baginda SAW menjawab: “Mempersekutukan Allah sedangkan dia sudah menciptakan engkau.” Sahabat bertanya lagi, “Selepas itu apa lagi?” Baginda SAW bersabda, “Membunuh anakmu sendiri (hanya) kerana khuatir dia akan (menumpang) makanan denganmu.” (Muttafaqun Alaihi)

Islam menyedari kesan negatif ditimbulkan oleh faktor ekonomi terhadap perilaku manusia seperti ia juga memberitahu bahawa bagi sesetengah manusia, masalah ekonomi kadangkala boleh memusnahkan kasih sayang seorang bapa terhadap anak.

No comments:


Glitter @ HotFreeLayouts.com

Welcome (selamat datang) to our visitor.

Assalamualaikum w.b.t.

"Allah tiada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus menerus mentadbir (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak pula tidur. Kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang ada dihadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi (ilmu dan kekuasaan) Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar"
(Al-Baqarah: 225)


UNTUK AWAK~






Peta Tempat.. cari...